Tuesday, 30 October 2012

"JIKA TIDAK KERANA MESIR DAN PRESIDENNYA, KAMI TIDAK AKAN BERSAMA KALIAN PADA HARI INI" -AMIR QATAR


Amir Qatar, Syeikh Hamad bin Khalifa Al-Thani (gambar) yang berucap di Gaza semalam dalam lawatan sehari bersama isteri, Syeikhah Mouza mengucapkan terima kasih buat Mesir dan Presidennya, Dr.Mohammad Morsy.

"Kami mengucapkan penghargaan buat Mesir dan Presiden Tuan Dr.Mohammad Morsy, jika tidak kerana mereka maka kami tidak akan bersama-sama kalian di Gaza pada hari ini."

Ucapan tersebut disampaikan beliau di Universiti Islam Gaza yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniya.

Haniya yang berucap kemudiannya berkata, dengan kunjungan seorang ketua negara Arab ini maka benteng dan kepungan yang dibina ke atas Gaza selama ini telah roboh. Selama lima tahun, Gaza dan penduduknya dinafikan hak oleh rejim Zionis setelah HAMAS memenangi Pilihanraya Umum dan memerintah Gaza pada tahun 2007. Sejak itu, Israel telah menyekat sebarang bantuan kepada Gaza dan ia hanya disalurkan kepada kerajaan Fatah yang menguasai Tebing Barat. Ia dilakukan bertujuan mendera rakyat Gaza kerana 'kesalahan' memilih HAMAS sebagai kerajaan.

Hingga hari ini, Israel masih meneruskan keganasan di Gaza apabila askarnya menyerang penduduk Gaza yang menyebabkan kematian hampir saban hari.

Sementara itu, Kementerian Luar Israel mengkritik lawatan Amir Qatar ke Semenanjung Gaza dan menyebabkan kerajaan Israel tidak senang hati terhadap kunjungan tersebut.


No comments:

Post a Comment