Wednesday 17 July 2013

TURKI HANYA IKTIRAF MURSI PRESIDEN YANG SAH

TURKI | Bertegas masih mengiktiraf Mursi sebagai Presiden yang sah.

Mursi bersama Erdorgan

Sesudah Parti Sa'adat, parti Islam Turki mengadakan himpunan menolak rampasan kuasa yang dilakukan askar Mesir beberapa hari lalu yang dihadiri lebih 100,000 rakyat dengan kehadiran pemimpin gerakan Islam dunia, kini kerajaan Turki pula memberikan tekanan kepada kerajaan "perampas" Mesir.

Ikhwanonline melaporkan kenyataan Menteri Luar Turki, Dawud Uhglu Isnin, 15 Julai seperti yang disiarkan oleh stesen televisyen NTV bahawa Turki tetap mengiktiraf Mursi sebagai Presiden Mesir. Kenyataan Ughlu itu menyusul sehari selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Reccep Toyyip Erdorgan yang berpendirian Mursi masih sebagai Presiden Mesir yang sah.

Dalam satu majlis berbuka puasa, Erdorgan dilaporkan berkata, "Dalam situasi terkini, Presiden Mesir bagi saya ialah Mursi kerana beliau dipilih oleh rakyat. Jika kita tidak melihat demikian maka kita tidak menghormati kehendak rakyat Mesir kerana kita Turki menghormati pilihan rakyat. Kita akan menghormati pihak perampas jika mereka menang melalui peti undi."

Sementara hari ini pula, Presiden Turki Abdullah Gul pula menuntut Mursi dibebaskan segera. Akhbar Turki, "Today's Zaman" turut melaporkan kekecewaan Gul terhadap rampasan kuasa tentera. Menurut akhbar tersebut, Gul menyatakan pendiriannya kepada Duta baru Mesir ke negara itu, Abdur Rahman Solahuddin yang meminta pihak berkuasa membebaskan Mursi. Gul juga enggan menerima warkah yang diutuskan oleh Presiden sementara Mesir, Adli Mansour melalui Solahuddin petang Isnin lalu.

Akhbar Turki bernama "Aksam" pula melaporkan Erdorgan menolak permintaan Dr.Mohammed El-Baradei (yang dilantik sebagai Naib Presiden Mesir) untuk bertemu beliau kerana pendirian Turki jelas yang masih mengiktiraf Mursi sebagai Presiden yang sah.

Sumber: Ikhwanonline, Today's Zaman, Aksam

No comments:

Post a Comment